Emas perhiasan penyimpan lebihan aliran tunai
Emas perhiasan penyimpan lebihan aliran tunai
Harga emas dunia mencecah paras tertinggi dalam sejarah apabila melepasi AS$2,000 atau RM8,504 seauns
Kemeruapan harga emas akhir-akhir ini disebabkan kelemahan dolar Amerika Syarikat (AS) dan momentum positif logam ini dipacu daya tarikannya sebagai aset selamat di tengah pergolakan perdagangan AS dan China, yang belum berpenghujung.
Konflik AS dengan Iran selepas pembunuhan Jeneral Qasem Soleimani juga menyebabkan ketindaktentuan pasaran. Serangan peluru berpandu Iran ke atas pangkalan udara Ain Al-Asad dan di Erbil di Iraq, selepas pengebumian komandernya, melonjakkan harga minyak dan emas.
Situasi ini membuatkan harga emas mula melonjak pada paras tertinggi dalam tempoh sembilan tahun ini.
Kini harga emas terperangkap di tengah keadaan di mana keadaan volatiliti dan kecairan tinggi menyebabkan aset yang mempunyai risiko rendah mendapat permintaan tinggi dengan keadaan ekonomi global yang tidak menentu dan sukar diramal.
Apabila harga emas mencapai tahap tertinggi dan ditambah kebimbangan terhadap isu COVID-19, dijangka inflasi akan berlaku dan akan lebih banyak langkah rangsangan ekonomi yang membawa peningkatan kepada harga emas.
Dalam keadaan pelaburan lain tidak menentu nilai dan kecairannya, emas menjadi antara alternatif kepada pelaburan. Pelaburan emas semakin popular dalam kalangan masyarakat ketika ini.
Produk pelaburan emas ditawarkan dalam pasaran sama ada oleh institusi perbankan, syarikat jualan emas atau pengurus dana. Pelbagai pertikaian juga timbul dalam membahaskan isu pelaburan emas ini, yang dilihat dari sudut syariah.
Pada zaman dahulu, emas dijadikan mata wang sebagai transaksi perniagaan dan ia berbeza dengan masa kini yang mana emas sering digunakan sebagai komoditi dalam perniagaan bagi meraih keuntungan.
Secara asasnya, Islam tidak melarang jual beli emas sebagai komoditi selagi mana urusan itu tidak membabitkan urus riba.
Justeru, pelaburan emas boleh menjadi satu pelaburan yang baik dalam keadaan kemeruapan harga emas pada masa kini. Komoditi emas mempunyai nilai kukuh dan berpotensi terus meningkat pada masa akan datang.
Melihat dari sudut lain pula, kemeruapan harga emas turut menyebabkan harga emas perhiasan melonjak tinggi. Di Malaysia contohnya, harga emas 999.99 mencecah RM312 per gram, manakala emas 916 pula RM290 per gram.
Pengurus Besar Habib Jewels Sdn Bhd, Mohd Zaharuddin Mahmud, memaklumkan permintaan runcit untuk membeli barangan kemas atau emas perhiasan meningkat kerana masyarakat yakin pelaburan emas perhiasan mampu dijadikan 'alat kecairan' jika masyarakat berdepan situasi sukar seperti hari ini.
Emas perhiasan boleh dijadikan medium menyimpan lebihan aliran tunai kepada bentuk emas perhiasan.
Ironinya, pelabur membeli emas sebagai pelindung nilai atau perlindungan selamat daripada ketidaktentuan ekonomi yang menyebabkan pasaran atau pelaburan lain menjadi tidak menentu.
Emas juga sering kali digunakan sebagai pelindung nilai kepada inflasi, deflasi dan penurunan mata wang.
Menurut Joe Foster, Pengurus Dana Vaneck International Gold Fund berpangkalan di New York, mata wang bagi negara utama, termasuk dolar AS, berada dalam tekanan pasaran disebabkan keadaan ekonomi dunia berikutan isu global yang belum selesai.
Semakin banyak dolar dicetak dalam ekonomi sekarang, nilai mata wang itu akan semakin kurang bernilai.
Jika pulangan daripada bon, ekuiti dan hartanah tidak lagi dapat menangani jumlah risiko dan inflasi, maka permintaan untuk pembeli emas dan komoditi lain akan turut meningkat dan ia boleh dijadikan pelindung nilai yang baik.
Penulis adalah Pensyarah Kewangan. Fakulti Pengurusan Perniagaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Segamat
Comments
Post a Comment